
Kuantan, 22 Mac- Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah mengesyorkan supaya amalan berpolitik masa kini dilakukan dengan menggunakan komunikasi yang sesuai demi kepentingan serta kemaslahatan ummah dan bukannya melalui cara membuka aib, mengutuk atau memaki hamun mereka yang berbeza pendapat.
“Kalau kita hendak mengkritik, itu adalah amalan biasa dalam politik. Namun mengkritik bukan bermaksud kita boleh mengutuk. Ada perbezaannya di situ dan bagaimana ia boleh dilakukan adalah bergantung kepada kebijaksanaan masing-masing.
“Tetapi tentu lebih baik sekiranya kita menyampaikan pandangan atau pendapat politik yang menjurus kepada kestabilan, penyatuan dan keharmonian, jelas serta tidak mengelirukan atau menggusarkan kerana suasana menuntut kita berbuat demikian memandangkan kita sedang berperang dengan pandemik,” katanya.
Bercakap kepada media ketika Jelajah Malaysia Prihatin KKMM di Kuantan, Saifuddin juga berharap supaya mana-mana pihak yang ingin berhujah tidak terlalu mudah menggunakan nama Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam hujahan mereka kerana kita perlu menghormati kedudukan Seri Paduka selaku Ketua Negara.

Pelaksanaan bagi mengukuhkan komunikasi ummah harus melibatkan pelbagai aspek supaya maklumat yang ingin disampaikan itu tepat dan difahami. Penyampaian maklumat dan sebaran informasi bukan berasaskan fitnah, info kurang tepat dan khabar angin.
Budaya masyarakat Malaysia mendokong budi bahasa dan sopan santun. Aspek ini wajar dipegang sebagai asas berpolitik dengan tatacara komunikasi ummah. Mengkritik dengan berhemah, menegur dengan bahasa sopan dan menasihati secara adab tanpa kata-kata sinis menghina. Ia akan mewujudkan suasana berpolitik yang matang dan harmoni, yang secara langsung akan mengurangkan konflik tetapi menuju ke arah penyelesaian isu.
Sebagaimana terjemahan ayat 125 Surah An-Nahl;
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Kesantunan budi dan kesopanan bahasa akan menghindari suasana berpolitik cara kasar, tetapi ia akan mewujudkan siasah harmoni yang lebih memupuk keyakinan ummah terhadap orang politik.
Saifuddin turut mengesyorkan agar cara berpolitik melalui komunikasi ummah agar membawa kepada penyatuan ummah, dan bukanlah perpecahan ummah.
-NMT-
More Stories
Nation Recovers RM15.5 Billion Of Its Revenue, War Against Corruption And Cartels To Go On – Anwar
Budget 2026 Reflects Govt’s Commitment To Integrity, Curbing Leakages – Azam
Dewan Negara Passes Five Bills Including Legal Aid And Public Defence 2025