Kerajaan negeri ingkar PKPB bercanggah dengan Perlembagaan

By , in COVID19 on .

KUALA LUMPUR, May 5 – Beberapa negeri telah menolak perintah kerajaan persekutuan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB sejak diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 May 2020 yang lalu.

Keingkaran tersebut menyalahi undang-undang dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Malay Mail memetik peguam kanan Gurdial Singh Nijar, yang mengatakan negeri-negeri mempunyai kewajipan untuk melaksanakan perintah tersebut selaras dengan artikel 81 perlembagaan persekutuan.

Perkara 81 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa Kuasa eksekutif tiap-tiap Negeri hendaklah dijalankan supaya–

(a) dapat dipastikan bahawa apa-apa undang-undang persekutuan yang dipakai bagi Negeri itu dipatuhi; dan

(b) tidak menghalang atau menjejaskan penjalanan kuasa eksekutif Persekutuan.

Keingkaran beberapa negeri dalam mematuhi perintah kerajaan persekutuan dalam perlaksanaan PKPB jelas menghalang dan menjejaskan kuasa eksekutif Persekutuan.

Gurdial juga mengatakan bahawa kuasa kerajaan negeri dalam hal kesihatan yang termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 adalah terhad dan tidak termasuk kuasa untuk menentukan pembukaan operasi perniagaan, yang merupakan kuasa persekutuan.

Pakar perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz juga menyuarakan berpendapat yang sama.

“Persoalan sama ada negeri ada hak untuk tidak mematuhi atau wajib mematuhi, saya rasa bila Persekutuan ada kuasa maka negeri kena mematuhi peraturan Persekutuan itu.

“Lagipun ia dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Akta itu adalah akta yang dibuat oleh Persekutuan. Seksyen 11 di bawah Akta itu membenarkan Menteri membuat peraturan-peraturan. Ia sudah ada di peringkat Persekutuan.

“Kalau warta perintah-perintah itu telah jelas semuanya, pada saya negeri patutlah menerima pelaksanaan PKPB kalaupun mereka berkeinginan untuk menambah baik prosedur operasi standard itu,” katanya kepada akhbar Sinar Harian.

Negeri mengubahsuai PKPB

Terdapat juga negeri-negeri seperti Selangor yang mengubahsuai PKPB untuk kegunaan Selangor.

Pakar undang-undang pentadbiran awam, Derek Fernandez mengatakan bahawa kerajaan negeri mesti mendapatkan kelulusan Menteri Kesihatan untuk melakukan sebarang perubahan syarat atau prosedur PKP.

Menteri Kesihatan perlu mendapatkan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara sebelum meluluskan perubahan yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Fernandez juga mengatakan kerajaan negeri tiada pilihan selain melaksanakan perintah PKPB seperti yang diwartakan oleh kerajaan persekutuan.

Negeri boleh disaman oleh perniagaan

Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah menyuarakan kebimbangan beliau tentang negeri-negeri yang boleh disaman oleh syarikat-syarikat yang tidak dibenarkan beroperasi.

Peguam kanan Datuk N Sivananthan tampak bersetuju dengan kenyataan Azmin dalam artikel Malay Mail.

“Sebarang percubaan untuk menghalang rakyat untuk mematuhi PKPB adalah di luar batasan undang-undang dan rakyat yang mengalami kerugian daripada itu boleh menyaman untuk kerugian yang dialami.” katanya.

Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan juga jelas mengatakan:

“Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.”

Ini jelas membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menolak perintah kerajaan Persekutuan yang telah diwartakan.

Kebebasan Diri

Satu perkara yang lebih penting adalah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, Kebebasan Diri.

Sekiranya seseorang rakyat ditahan oleh pihak berkuasa kerana dikatakan mengingkari perintah PKP, sedangkan kerajaan persekutuan telah mengubah perintah kawalan kepada PKPB, penahanan tersebut berkemungkinan besar bercanggah dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan; yang mempertahankan hak kebebasan diri seseorang warganegara Malaysia.

Recommended articles