
Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah
Kuala Lumpur, September 29 — Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand dengan bantuan dan kerjasama pihak berkuasa tempatan terus mempergiatkan usaha mencari, menyelamat dan membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di luar negara.
Menurut kenyataan, Wisma Putra telah menerima sebanyak 344 laporan mengenai warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan menawarkan pekerjaan di beberapa negara Asia Tenggara.

Berdasarkan statistik terkini Kementerian, seramai 256 orang telah berjaya diselamatkan dan 171 mangsa telah dihantar pulang ke Malaysia manakala baki 85 orang kini berada di depoh tahanan imigresen sementara menunggu proses urusan.
Terdapat 88 mangsa yang masih belum ditemui memandangkan kesukaran untuk meredah kawasan bergolak, seperti Myawaddy di Myanmar yang bersempadan dengan Thailand. Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan telah mencapai kemajuan mengesan mangsa, berdasarkan kenyataan yang diambil daripada mangsa yang diselamatkan.

Selaras dengan keputusan mesyuarat Kabinet pada 21 September lalu, satu Jawatankuasa Khas untuk menangani isu penipuan sindiket tawaran kerja melibatkan warganegara Malaysia di luar negara telah ditubuhkan, diketuai oleh Wisma Putra dan dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri Dato’ Sri Saifuddin Abdullah dengan penglibatan sembilan kementerian dan agensi yang berkaitan, bagi menangani isu ini secara bersepadu dan menyeluruh.
Jawatankuasa tersebut, antara lain menentukan tindakan yang akan diambil oleh setiap kementerian atau agensi termasuk langkah-langkah pencegahan dan usaha mewujudkan kesedaran kepada golongan sasar dengan lebih fokus dan berkesan.
Antara tindakan yang akan diambil hasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pertama ialah pertemuan pegawai Wisma Putra dengan Duta negara terbabit bagi mendaftarkan kebimbangan dan pendirian Kerajaan Malaysia berhubung isu ini, serta memohon bantuan dan kerjasama daripada Kerajaan negara terbabit untuk mempergiatkan usaha mengesan dan menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket.
More Stories
HAZEE: THREE AREAS IN JOHOR RECORD UNHEALTHY API AS AT 9 AM
KING PRESENTS INSTRUMENTS OF APPOINTMENT TO 15 ENVOYS
LIVELY MAULIDUR RASUL CELEBRATION NATIONWIDE WITH PARADES, SELAWAT