October 20, 2025

New Malaysia Times

Blog News Impose Expose

Sukuk Kelestarian ditingkatkan saiz terbitan ke USD1.3B

sukuk KELESTARIAN

Kuala Lumpur, 22 April — Keyakinan dan permintaan tinggi pelabur terhadap ekonomi Malaysia terbukti apabila kerajaan Malaysia berjaya menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar AS (USD) menerusi terbitan bertempoh matang 10-tahun dengan jumlah USD800 juta serta menerbitkan sukuk bertempoh matang 30-tahun berjumlah USD500 juta.

Berikutan permintaan menggalakkan, kerajaan memutuskan meningkatkan saiz terbitan asal daripada USD1.0 bilion kepada USD1.3 bilion. Permintaan yang tinggi ini juga memberikan kadar hasil dan spread terendah bagi terbitan sukuk berdenominasi dolar AS oleh Malaysia dengan tranche 10-tahun ditetapkan pada 2.070% [T + 50 mata asas], dan tranche 30-tahun pada 3.075% [T + 80 mata asas].

Mendapat penarafan A3 dari Moody’s Investor Service dan A- dari S&P Global Ratings, kedua-dua tranche ini diyakini pelabur melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali walaupun pertumbuhan ekonomi terkesan akibat pandemik COVID-19.

Bagi tranche 10 tahun, sebanyak 67 peratus diagihkan kepada pengurus dana dan syarikat insurans, 18% kepada bank pusat dan kerajaan, 14% kepada bank-bank dan 1% kepada pelabur lain manakala bagi tranche 30-tahun pula, sebanyak 83% telah diagihkan kepada pengurus dana, 10% kepada bank-bank, 4% kepada bank pusat dan kerajaan serta 3% kepada pelabur lain.

Sukuk Kelestarian ini diterbitkan menerusi syarikat bertujuan khas, Malaysia Wakala Sukuk Berhad dan berasaskan Rangka Kerja Sukuk SDG Kerajaan Malaysia yang telah dinilai oleh Sustainalytics1 dan mengiktirafkannya sejajar dengan empat komponen teras Social Bond Principles 2020 (SBP), Green Bond Principles 2018 (GBP), dan ASEAN Sustainability Bond Standards 2018 (ASEAN SUS).

sukuk KELESTARIAN

Menggunakan aset sandaran lestari, sukuk ini menjadi tanda aras baharu terhadap pembangunan lestari dengan menggunakan baucar yang mewakili hak perjalanan rangkaian pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan KL Monorail sebagai aset sandaran.

Terbitan ini turut membuktikan usaha kerajaan dalam menangani kesan perubahan iklim serta menggiatkan peralihan ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Kerangka dan pendapat pihak kedua Sustainalytics dapat diakses di pautan ini : https://www.mof.gov.my/en/economy/sustainability