
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT dengan izin dan rahmat-Nya, lawatan rasmi enam hari ke Asia Barat berakhir hari ini (11 Mac 2021) dengan pencapaian hubungan dua hala dengan Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang amat membanggakan.
Abu Dhabi, UAE, adalah destinasi terakhir saya dalam rangka lawatan rasmi di Asia Barat. Ketika di Abu Dhabi dari 10-11 Mac 2021, saya telah diterima menghadap Yang Mulia Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Saya turut diterima menghadap Timbalan Presiden merangkap Perdana Menteri UAE, Pemerintah Dubai, Yang Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum di Istana Zabeel, Dubai.
Pertemuan bersama dua pemimpin utama UAE ini saya sifatkan amat berjaya dan cukup berkesan dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan UAE.
Secara amnya perbincangan yang menyentuh kepentingan kedua-dua negara termasuk pelaburan dan perdagangan itu, berjalan lancar sekaligus menterjemahkan semangat persahabatan yang akrab antara Malaysia dan UAE.
Kerajaan UAE menekankan bahawa hubungan Malaysia dan UAE harus dipertingkatkan ke satu tahap yang lebih tinggi.
Antara kerjasama pelaburan dan perdagangan yang dibincangkan dan dipersetujui ialah peningkatan eksport minyak sawit ke UAE, kerjasama antara PETRONAS dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC), serta kerjasama dan pelaburan dalam sektor pendidikan negara.
Insya-Allah, sekembalinya saya ke Kuala Lumpur, saya bersama jemaah menteri akan membuat penelitian yang terperinci untuk mengenal pasti bidang dan sektor utama yang berpotensi menarik peniaga dan pelabur asing bagi meningkatkan ekonomi serta mampu mencipta lebih banyak peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia.
Saya berdoa agar semua kerjasama ini dapat kita laksanakan segera dan semoga semuanya berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancang.
More Stories
Nation Recovers RM15.5 Billion Of Its Revenue, War Against Corruption And Cartels To Go On – Anwar
Budget 2026 Reflects Govt’s Commitment To Integrity, Curbing Leakages – Azam
Dewan Negara Passes Five Bills Including Legal Aid And Public Defence 2025