Video seks ahli politik; wajah gagal dipastikan, tiada dakwaan dibuat
KENYATAAN MEDIA TOMMY THOMAS, Jan 9 – Sejak 13 Jun 2019, Jabatan Peguam Negara dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah bekerja secara bersama dalam meneliti kertas siasatan berkaitan dengan video seks yang dikatakan melibatkan personaliti politik. Protokol penyiasatan yang biasa antara Jabatan ini dan PDRM telah diikuti. Beberapa perbincangan telah diadakan untuk menyemak keterangan yang dikumpulkan oleh PDRM pada setiap peringkat penyiasatan yang sesuai, dan beberapa arahan siasatan lanjut telah dikeluarkan kepada PDRM untuk memastikan keterangan mencukupi sebelum apa-apa keputusan mengenai pendakwaan boleh dibuat.
Siasatan telah dijalankan dibawah seksyen-seksyen 377B dan 377D Kanun Keseksaan berikutan daripada beberapa laporan polis yang telah dibuat oleh beberapa individu yang berbeza mengenai video seks. Ramai saksi telah ditemubual oleh PDRM untuk memastikan fakta berhubung dengan video dan terdapat tangkapan dan reman beberapa saksi berkaitan dengan penyiasatan.
Pelbagai keadaan telah menyumbang kepada kelewatan dalam melengkapkan siasatan ini; terutamanya masa yang lama diambil sebelum laporan forensik dimuktamadkan. Semasa dalam siasatan, proses undang-undang perlu dipatuhi, keperluan prosedur dan teknikal untuk analisis forensik yang wajar perlu diikuti. Perkara ini termasuklah menangani kekangan dan prosedur Kerajaan untuk mendapatkan kelulusan kewangan tambahan bagi membolehkan PDRM melengkapkan penyiasatan.
Video-video tersebut telah dihantar untuk menentukan ketulenan (authenticity) dan pengecaman wajah (face recognition) di dalam dan luar negara. Pernyataan-pernyataan saksi yang telah direkod oleh pihak polis, keterangan dokumentari yang dikumpulkan dan analisa forensik adalah merupakan sebahagian daripada Kertas Siasatan (“KS”) yang telah dirujuk kepada Jabatan ini untuk keputusan.
CyberSecurity Malaysia telah membuat kesimpulan walau pun video-video tersebut adalah tulen, pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video yang rendah yang mana analisis telah dijalankan.
Disebabkan oleh dapatan yang tidak konklusif tersebut, PDRM telah menghantar untuk dianalisa secara bebas oleh pakar forensik di Amerika Syarikat. PDRM menerima keputusan analisa pada bulan Disember 2019. Laporan yang bebas ini mengesahkan dapatan Cyber Security, antara lainnya, “kegagalan untuk mengenalpasti individu-individu di dalam video tular tersebut adalah disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video-video dan rangka (frames) video yang sedikit untuk membolehkan saspek dilihat dengan jelas.”
Secara berasingan PDRM juga telah menerima suatu laporan analisa yang dibuat oleh orang persendirian tanpa diminta (unsolicited). Laporan ini juga mengesahkan dapatan kedua-dua laporan yang dinyatakan di atas bahawa pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara konklusif berdasarkan analisa pengecaman wajah.
Dalam hal keadaan-keadaan ini dan setelah menyemak keterangan yang telah dikumpulkan dan dikemukakan oleh PDRM kepada Jabatan ini, Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara mengesyorkan kepada saya bahawa tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung dengan video berkenaan. Saya telah menerima syor tersebut dan membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana pihak. Selaras dengan amalan biasa, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baru diperolehi.
9 Januari 2020
Tan Sri Tommy Thomas
Pendakwa Raya/ Peguam Negara
0 comments