September 24, 2023

New Malaysia Times

Blog News Impose Expose

Kuasa ekonomi Asia akan mengambil alih kuasa ekonomi dunia pasca 2020

2020

KENYATAAN MEDIA BY AZMIN ALI, Dec 31 – Perutusan Tahun Baru. Selamat datang 2020. Kita memasuki dekad baharu yang membawa cabaran pelbagai dimensi – politik, ekonomi dan sosial.

2020

Semakin jelas kita menyaksikan terhakisnya keteraturan dunia (global order) yang dibentuk selepas Perang Dunia Kedua. Amerika Syarikat yang memainkan peranan utama dalam membentuk keteraturan tersebut tidak lagi berada di tangga teratas sebagai kuasa ekonomi. Diukur dari Purchasing Power Parity (PPP), kedudukan tersebut telah pun diambil oleh China.

Dekad baharu ini juga akan menyaksikan ekonomi-ekonomi Asia seperti China, India, ASEAN, Jepun dan Korea mengambil alih ekonomi dunia dari Amerika dan Eropah.

Untuk menghadapi cabaran yang dibawa oleh perubahan raksasa ini kita perlu beranjak dari fikiran lama yang berkiblat kepada Amerika Syarikat dan Eropah. Kita memerlukan imaginasi baharu. We must have the courage to think big.

YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memulakan anjakan pemikiran ini dengan menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (Kuala Lumpur Summit 2019) baru-baru ini. Sidang kemuncak tersebut membuka ruang kepada kerjasama strategik ekonomi dan teknologi secara kolektif di antara negara-negara Islam dan ummah yang berjumlah 1.7 bilion.

Kita perlu meneroka pelbagai kerjasama strategik di peringkat global untuk menangani kesan badai perang dagang antara China dan Amerika Syarikat. Perang dagang tersebut menunjukkan bagaimana Amerika sendiri telah mengabaikan salah satu aspek utama keteraturan dunia yang ia anjurkan.

Kerjasama strategik ini amat penting memandangkan Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka. Namun begitu Malaysia perlu mengukuhkan asas-asas ekonomi domestik agar kita memiliki daya tahan sistemik.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 5 Oktober lalu akan menjadi tunjang kepada usaha membangun ekonomi Malaysia yang terus dinamik lagi mampan. Perlaksanaan Wawasan ini bukan sahaja akan memperkukuhkan pertumbuhan dan kemakmuran, bahkan akan merapatkan jurang dan kesenjangan ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian nilai.

Kita perlu insaf bahawa iltizam melaksanakan agenda penstrukuran semula ekonomi negara ke arah bernilai tinggi demi mengangkat kesejahteraan rakyat memerlukan penglibatan dan komitmen semua rakyat.

Justeru itu marilah kita memasuki tahun dan dekad baharu dengan semangat yang satu dan maju sebagai bangsa yang satu. Dengan kesungguhan, Insya Allah, kita akan berjaya.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Menteri Hal Ehwal Ekonomi

31 Disember 2019