Islam tegah diskriminasi; pertahankan hak bukan-Muslim

By , in Nation Politics Religion on . Tagged width: , , ,

Kehadiran Muslim secara beramai-ramai di Perhimpunan Hadi yang kononnya mempertahankan Islam pada 8 Disember akan hanya memburukkan nama agama Islam di mata orang bukan-Muslim. Apakah ini yang kita mahukan sebagai seorang Muslim? Adakah ini berlandaskan dakwah Rasulullah s.a.w?

Rasulullah s.a.w terkenal dengan sifat lemah-lembut dan sopan, berdakwah secara lembut tanpa konfrontasi sehingga Islam tersebar meluas di Bumi Arab sebelum Islam disebarkan ke serata dunia dengan cara yang mungkin lebih keras oleh pemimpin-pemimpin selepas Rasulullah.

Walaupun kekerasan terbukti sebagai cara dakwah yang lebih effektif, syiar Islam tidak sepatutnya disebarkan secara kekerasan. Penyebaran secara kekerasan itu bertentangan dengan konsep keikhlasan dalam beragama yang dituntut dalam Islam.

Islam itu rahmatan lil alameen

Islam merupakan rahmat semesta alam (rahmatan lil alameen) seperti yang difirmankan Allah,

“Dan tiadalah Kami mengutusmu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah Al-Anbiya 21:107)”

Rasulullah diutuskan Allah di muka bumi ini tidak lain untuk menjadi rahmat sekalian alam. Maka itu, cara Rasulullah itulah yang sepatutnya diikuti dalam mana kita berdakwah kepada mereka yang bukan-Muslim. Dan bukanlah cara kekerasan yang dilakukan oleh mana-mana tokoh Muslim yang lain, walaupun cara mereka itu mungkin lebih berkesan. Ini termasuklah cara pemimpin parti yang menunggang agama untuk kepentingan politik, seperti Hadi.

ICERD tidak menggugat kedudukan Islam

Perhimpunan Hadi pada 8 Disember nanti, hanyalah bertujuan untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam agar tidak lagi membangkitkan isu diskriminasi kaum di Malaysia. Perkara yang dibangkitkan seperti ICERD itu sebenarnya tidak relevan kerana terlalu banyak negara Islam yang telah pun meratifikasikan ICERD, termasuk Arab Saudi dan jiran negara kita, Indonesia, yang merupakan negara yang mempunyai jumlah Muslim yang terbesar di dunia.

ICERD tidak pernah mengganggu-gugat kedudukan Islam atau Muslim di Indonesia, and apatah lagi di Arab Saudi. Jadi bagaimanakah ia boleh menggugat kedudukan Islam di Malaysia? Hadi merupakan pemimpin yang suka menunggang agama untuk memecahbelahkan perpaduan kaum di Malaysia. Dengan berhimpun secara beramai-ramai pada 8 Disember, akan bertambahlah perpecahan di antara kaum di negara kita. Semakin kuatlah sentimen perkauman di Malaysia.

Islam tidak mungkin tergugat

Dakwah Islamiyyah itu seharusnya dilakukan dengan menunjukkan contoh yang baik dan bukanlah dengan cara menunjukkan kekuatan kita. Agama kita tidak akan tergugat oleh apa sekalipun. Ini dijamin oleh Allah. Allah itu Maha Kuasa, tiada apa yang dapat menggugatnya.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya” (Surah Al Kahfi, ayat 29)

Ditambah lagi dengan kedudukan agama Islam yang terpelihara di dalam Perlembagaan Malaysia. Ia tidak mungkin tergugat.

Orang bukan-Muslim tidak pernah cuba menggugat kedaulatan Islam dalam negara kita. Mereka bukan dari parti komunis yang menentang segala unsur keagamaan. Mereka hanya mahukan kehidupan yang aman damai, bersatu dan hak mereka untuk bersaing secara adil dalam segala aspek kehidupan.

Keadilan kepada bukan-Muslim dalam Islam

Hak untuk mereka hidup aman damai, dan untuk bersaing secara adil dalam segala aspek itu juga merupakan sesuatu yang tidak bercanggah, malah dituntut di dalam agama Islam. Buktinya adalah apabila Rasulullah sendiri pernah menjamin hak mereka yang bukan-Muslim (tetapi hidup secara aman di negara Islam).

“Berwaspadalah, Barangsiapa yang menganiaya seorang Muahid (bukan Islam yang hidup didalam piagam), mengurangkan haknya, atau memaksanya bekerja lebih berat dari yang ia mampu, atau mengambil apa yang hak baginya tanpa kebenarannya, maka aku akan membela mereka (Muahid) di hari pembalasan” (Sunan Abu Dawud, Sahih Albani)

Apakah bukan-Muslim di Malaysia ini boleh dianggap sebagai Muahid? Memetik Mufti Wilayah, Dr Zulkiffli Alk Bakri yang pernah menulis:

“Perlembagaan Persekutuan melalui artikel 8 telah memberikan hak yang sama rata kepada seluruh warganegara untuk perlindungan daripada sebarang diskriminasi berasaskan agama, ras dan jantina dari sudut undang-undang. Perlembagaan Persekutuan boleh diibaratkan seperti Piagam Madinah yang diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w bersama-sama kaum Muslimin dan orang Yahudi di Madinah untuk hidup aman dibawah panji keadilan dan kesaksamaan. Sebagai orang Islam, kewajipan menepati dan mempertahankan perjanjian ini tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah)”. (Surah an-Nahl: 91)

Mufti Wilayah juga mengatakan bahawa: “Kontrak sosial ini merangkumi penghormatan warga non-Muslim terhadap Islam sebagai agama Persekutuan, manakala sebagai imbalannya warga Muslim perlu memberi hak kepada warga non-Muslim untuk menikmati hak yang sama sebagai seorang warganegara,”

Ianya sejurus dengan Firman Allah yang bermaksud:

““Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah Al Maidah ayat 8)

Muslim harus mempertahankan hak bukan-Muslim

Maka itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk mempertahankan hak orang bukan-Muslim di negara kita ini.

Memandangkan Islam itu adalah rahmat sekalian alam, maka ianya tidak boleh dijadikan tunggangan untuk mana-mana pihak untuk memporak-perandakan kesejahteraan dan ketenteraman sosial, baik di Malaysia atau di seluruh pelusuk dunia.

Bagaimanakah kita mahu berdakwah dengan mereka yang bukan-Muslim sekiranya kita menunjukkan kekerasan dan ketidakwarasan dalam berdakwah? Bagaimana mereka mahu mendekati agama kita sekiranya kita bersikap keras dengan mereka?

Sebagai seorang Muslim, bukankah kita yang sepatutnya melaungkan keadilan tanpa diskriminasi kaum di negara ini? Bukankah ini tuntutan agama yang secara teguh menegah sikap assabiyyah atau berpuak-puak?

“Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil.”

Mengapakah kita mahu memberikan pemimpin yang menunggang agama seperti Hadi untuk memimpin diskriminasi yang jelas bertentangan dengan agama kita?

Allah hanya membenarkan Muslim untuk menentang bukan-Muslim sekiranya mereka menggugat kita dengan mengangkat senjata. Islam tidak pernah menentang atau mengerasi mereka yang hanya berdebat dengan kita, walau sekeras mana pun perdebatan mereka.

Dan persoalan yang terakhir yang ingin saya ketarakan di sini; Sebagai Muslim yang percaya bahawa agama kita adalah agama yang menentang assabiyyah atau sikap berpuak-puak, bukankah kita yang seharusnya mempertikai dan memperdebatkan perlembagaan negara kita yang jelas bercanggah dengan agama kita sendiri?

Fikir-fikirkanlah…

-Mujahidin Zulkiffli